Teknologi Kuantum: Dari Marvel’s Ant-Man hingga Realiti Makmal & Komputer UTeM
Kalau anda pernah menonton filem Marvel Ant-Man (2015), anda mesti biasa mendengar sebutan "Alam Kuantum" (Quantum Realm) dan zarah Pym fiksyen yang membolehkan watak utamanya mengecil dan membesar. Walaupun aplikasi mengecilkan manusia itu imaginasi Hollywood, konsep yang diguna pakai sebenarnya dicedok daripada ilmu fizik sebenar — seperti superposisi, keterikatan kuantum (quantum entanglement), dan penerowongan kuantum (quantum tunneling)! Hari ini, teknologi kuantum bukan lagi sekadar fiksyen sains, tetapi sudah pun melangkah masuk ke dalam realiti kehidupan seharian masyarakat.
1. Apa Sebenarnya Teknologi Kuantum Ini?
Secara mudahnya, teknologi kuantum ialah aplikasi praktikal bagi prinsip mekanik kuantum, iaitu cabang fizik yang mengkaji perlakuan zarah berskala mikroskopik seperti atom dan foton. Ada dua konsep asas yang penting untuk kita fahami:
- Superposisi: Dalam pengkomputeran klasik, data disimpan dalam bentuk bit (sama ada 0 atau 1). Tetapi dalam komputer kuantum, data menggunakan qubit (bit kuantum) yang boleh berada pada keadaan 0 dan 1 secara serentak! Bayangkan duit syiling yang sedang berputar laju — ia bukan sekadar 'kepala' atau 'bunga', tetapi kedua-duanya sekali gus.
- Keterikatan Kuantum (Quantum Entanglement): Dua qubit yang terikat boleh saling mempengaruhi serta-merta walaupun dipisahkan pada jarak yang tersangat jauh. Albert Einstein sendiri pernah menggelar fenomena aneh ini sebagai "spooky action at a distance".
Keupayaan memanipulasi qubit ini membolehkan komputer kuantum memproses pengiraan pada kelajuan luar biasa. Jika komputer biasa membaca buku halaman demi halaman, komputer kuantum seolah-olah berupaya membaca dan melihat semua halaman buku itu secara serentak!
2. Sejarah Ringkas: Dari Teori Fizik ke Perlumbaan Global
Perkembangan bidang ini bermula pada awal abad ke-20 menerusi kajian saintis hebat seperti Max Planck, Albert Einstein, dan Niels Bohr. Pada tahun 1980-an, Richard Feynman mendalangi idea komputer kuantum. Seterusnya pada tahun 1994, Peter Shor memperkenalkan algoritma Shor (Shor 1994) yang membuktikan keupayaan komputer kuantum memecahkan sistem enkripsi kriptografi moden — satu penemuan yang mengejutkan dunia keselamatan siber!
Memasuki abad ke-21, kemajuan kawalan zarah melalui teknologi ion terperangkap dan litar superkonduktor membolehkan pembinaan komputer kuantum fizikal pertama. Tokoh moden seperti Michelle Simmons (peneraju komputer kuantum silikon) dan John Preskill (yang mempopularkan istilah "quantum supremacy") terus memacu bidang ini.
Di arena antarabangsa, gergasi teknologi seperti Google (menerusi komputer kuantum Sycamore pada 2019), IBM, dan Microsoft bersaing sengit. Negara seperti China, Amerika Syarikat (melalui Akta Inisiatif Kuantum Nasional berbutir melebihi USD$1.2 bilion), Kesatuan Eropah (Quantum Flagship 2018), serta Singapura (yang menawarkan komputer kuantum komersial pertama pada Januari 2026) bergerak pantas.
Malaysia juga tidak ketinggalan! Pada November 2025, Malaysia melancarkan Pelan Hala Tuju Kesediaan PQC Kebangsaan bagi melindungi infrastruktur kritikal dan sistem kerajaan daripada ancaman keselamatan komputer kuantum.
3. Aplikasi Dunia Sebenar & Impaknya Kepada Masyarakat
Aplikasi teknologi kuantum bukan sekadar terkurung di dalam makmal fizik, malah merentasi pelbagai sektor kritikal:
- Penemuan Ubat & Bahan Baharu: Simulasi molekul berskala tepat mempercepatkan penciptaan ubat-ubatan baharu serta bahan canggih seperti pemangkin tinggi kecekapan dan superkonduktor suhu bilik (Cao et al. 2018).
- Pengoptimuman Logistik: Menyelesaikan masalah laluan penghantaran berskala gergasi dan rantai bekalan global secara pantas.
- Keselamatan Siber (PQC): Merekabentuk Kriptografi Pascakuantum (PQC) untuk memastikan data perbankan dan maklumat peribadi kekal selamat daripada serangan kuantum (Bernstein 2009; Chen et al. 2016).
- Kecerdasan Buatan (AI): Algoritma kuantum mempercepatkan proses latihan model AI ke tahap yang lebih canggih.
4. Perkembangan Terkini di Malaysia: UTeM Peneraju Pendidikan Kuantum
Di Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini mencipta sejarah apabila mengumumkan bakal menawarkan program ijazah sarjana muda dalam pengkomputeran kuantum tidak lama lagi! Menurut Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin, program ini direka menerusi kerjasama strategik bersama tiga universiti tersohor dari Amerika Syarikat, iaitu University at Buffalo, University at Albany, dan University of Texas.
UTeM turut menjadi universiti pertama di Malaysia yang menubuhkan makmal khusus pengkomputeran kuantum yang dilengkapi 23 buah komputer kuantum (berkeupayaan 2 dan 3 qubit) untuk latihan praktikal pelajar. Kumpulan pertama seramai 60 orang pelajar bakal memulakan pengajian dan dijangka bergraduan sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Perkomputeran Kuantum) pada tahun 2030.
Dalam masa yang sama, universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan literasi kuantum masyarakat (Oikonomou et al. 2025), menjalankan penyelidikan berasaskan konteks tempatan (seperti peramalan iklim, pertanian tepat, dan pengurusan sumber air), serta memimpin perbincangan awal mengenai etika dan tadbir urus teknologi ini.
5. Kesimpulan
Teknologi kuantum bukan lagi sekadar tajuk filem fiksyen sains mahupun mainan syarikat gergasi. Ia merupakan pemangkin utama yang memindahkan kita daripada Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) ke Revolusi Perindustrian Kelima (IR 5.0). Dengan pendedahan pendidikan seawal peringkat universiti di Malaysia, masyarakat kita bersedia untuk menjadi pengguna dan pencipta teknologi yang celik digital, berdaya tahan, serta bersedia mendepani cabaran masa depan.

0 Ulasan