Pernah tak anda terbaca luahan hati para guru dekat media sosial baru-baru ini? Kisah guru-guru benar-benar membuka mata kita. Bayangkan, tengah terlantar sakit di hospital untuk prosedur endoskopi, telefon berbunyi. Di hujung talian, pentadbir sekolah memaklumkan: "Cikgu, sekolah kita kena aduan SISPAA."
Puncanya? Hanya disebabkan kutipan dana sumbangan derma kilat sebanyak RM70 bagi setiap keluarga yang tular di Facebook dan dicanang netizen.
Bila dikaji balik isu "sikit-sikit viral" dan trend mak ayah serang sekolah menerusi sistem aduan awam ini, ia sebenarnya hanyalah puncak gunung ais. Di sebaliknya, ada krisis mentaliti yang lebih besar: Sifat entitled sebilangan ibu bapa zaman digital, hilangnya kuasa disiplin guru, dan ancaman jenayah sebenar di kawasan sekolah.
1. Zaman 90-an vs Zaman Sekarang: Betul Ke Sekolah Dulu Lagi Murah?
Ramai mak ayah hari ini merungut fasal kutipan PIBG RM50 atau RM70, seolah-olah sistem pendidikan sekarang sangat membebankan. Tapi, jom kita buat refleksi dan imbau kembali era 90-an dahulu.
- Zaman 90-an: Gaji minimum atau pendapatan isi rumah rendah waktu itu mungkin sekitar RM300 ke RM400 sebulan. Tapi, anak-anak nak masuk sekolah kena bayar Yuran Khas Nombor 1 (untuk sukan, peperiksaan, perpustakaan) bernilai RM20 hingga RM50 seorang. Buku teks pula? Bukan semua orang dapat. Kalau slip gaji mak ayah terlepas had kelayakan Skim Bantuan Buku Teks (SBBT) yang sangat ketat masa tu, jenuh lah kena beli sendiri di kedai buku. Nisbah kos sekolah berbanding gaji bulanan boleh mencecah 10% hingga 20%!
- Zaman Sekarang: Yuran Pemansuhan Pendidikan dah pun dilaksanakan. Yuran asas sekolah bertukar menjadi RM0 alias PERCUMA. SBBT pula bersifat menyeluruh (universal)—anak orang kaya, anak orang miskin, semua dapat pinjam buku teks free. Siap dapat Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 lagi tanpa had pendapatan. Pendapatan minimum sekarang dah RM1,700, maksudnya nisbah yuran asas adalah 0%.
Fakta Santai: Secara logik akal, sekolah zaman sekarang jauh lebih murah dan mesra poket berbanding zaman kita pakai seluar pendek warna biru lari keliling padang dulu.
Jadi kenapa RM70 kes derma kilat tu boleh jadi isu negara? Sebab salah faham konsep "Pendidikan Percuma". Bila kementerian kata percuma, ada yang anggap fasiliti sekolah automatik jadi macam hotel 5 bintang.
Mereka tak tahu duit peruntukan kementerian ambil masa nak lulus. Bila pembesar suara bilik peperiksaan SPM pecah, kipas dewan terbakar, atau tandas rosak, pihak sekolah tiada pilihan selain harap bantuan PIBG demi keselesaan anak-anak mereka juga. Tapi sayang, nak isi borang aduan SISPAA cuma ambil masa 5 minit di hujung jari; nak datang Mesyuarat PIBG dengar bentang audit kewangan, dua jam pun rasa berat.
2. Kembalikan Rotan, Gantung & Buang Sekolah!
Disebabkan sistem terlalu berlembut, ekosistem sekolah dah jadi kurang seimbang. Hak pelajar bermasalah kadangkala nampak lebih dominan berbanding hak majoriti pelajar lain yang betul-betul datang nak belajar. Dah tiba masanya kita kembalikan tiga instrumen disiplin ini secara tegas:
A. Kuasa Rotan (Kesan Jera)
Merotan bukan untuk mendera atau mencederakan, tetapi ia adalah simboliti sempadan undang-undang. Remaja fasa memberontak memerlukan had (boundaries). Bila hukuman rotan diharamkan secara total atau ditiadakan taringnya, mereka sedar tiada kesan fizikal serta-merta yang perlu ditakuti kalau mereka membuli atau melawan guru.
B. Gantung Sekolah (Bagi Mak Ayah Rasa)
Hari ini, ramai mak ayah lepas tangan 100% bab mendidik anak dekat sekolah. Bila anak kena gantung sekolah seminggu dua, tanggungjawab menjaga itu dipulangkan semula kepada ibu bapa secara paksa. Biar mereka pening kepala nak hadap perangai anak di rumah, sekali gus sedar tentang realiti akhlak anak sendiri.
C. Buang Sekolah (Demi Majoriti)
Menjaga kebajikan seorang pelajar tegar yang rosak akhlaknya tidak sepatutnya dibuat dengan mengorbankan keselamatan 1,000 pelajar lain. Sekolah harian biasa bukan pusat pemulihan akhlak juvana. Kalau dah terlibat kes jenayah berat seperti dadah atau gangsterisme, buang sahaja dan hantar ke Sekolah Henry Gurney atau Sekolah Integriti. Itu lebih adil untuk keselamatan guru dan pelajar lain.
3. Idea Radikal: Tukar Pak Guard, Wujudkan Polis Bantuan Sekolah
Sekarang, mari kita bercakap tentang realiti keselamatan. Landskap salah laku di sekolah bukan lagi sekadar kes "ponteng kelas", "baju tak tuck-in" atau "rambut panjang melepasi telinga". Kita sedang berhadapan dengan jenayah berat—penyeludupan vape, pengedaran dadah, pemerasan wang ringgit, buli siber tegar, dan gangguan seksual ekstrem.
Mengharapkan guru disiplin atau warden asrama (yang asalnya pegang gred akademik DG) untuk mengendalikan kes jenayah sebegini adalah satu tindakan yang tidak adil. Guru disiplin sekarang dah macam boneka; nak periksa beg pelajar pun takut kena saman menceroboh privasi atau diserang mak ayah di Facebook. Warden asrama pula hilang kuasa kawalan pada jam 3 pagi.
Solusinya? Kementerian Pendidikan (KPM) harus mencontohi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Di Universiti Awam, mereka tidak harapkan pensyarah jaga disiplin fakulti. Mereka ada Bahagian Keselamatan Gred KP (Pembantu Keselamatan) yang ditauliahkan sebagai Polis Bantuan (PB) oleh PDRM.
Kenapa Kehadiran Polis Bantuan Ini Sangat Penting?
- Psikologi Gerun (Deterrence Effect): Bayangkan abang-abang dan akak-akak Polis Bantuan lengkap beruniform rasmi, ada gari, dan ada lencana polis meronda kawasan sekolah dan blok asrama. Pelajar samseng nak tunjuk belang pun berfikir dua tiga kali.
- Siasatan yang Sah di Sisi Undang-undang: Kalau ada kes kecurian besar atau syak wasangka pemilikan barang terlarang di asrama malam-malam, Polis Bantuan ada kuasa perundangan untuk buat spot-check rasmi dan menjaga rantaian bahan bukti sebelum diserah kepada IPD terdekat. Guru tak perlu tadah muka kena kecam atau kena saman dengan peguam yang diupah mak ayah pelajar.
- Memulangkan Tugas Hakiki Guru: Guru digaji untuk mendidik dan mengajar, bukannya jadi pegawai forensik atau perisik tak bertauliah. Biar urusan keselamatan dan jenayah dikendalikan oleh badan penguatkuasa yang betul-betul dilatih untuk tugas tersebut.
Kesimpulan
Dunia dah berubah, cabaran media sosial dan gajet membuatkan ekosistem sekolah semakin kompleks. Kita tak boleh lagi gunakan acuan pengurusan tahun 80-an untuk selesaikan masalah tahun 2026.
Poin penting:
1. Wujudkan semula yuran pendaftaran sekolah mengikut kategori miskin tegar, B40, M40 dan T20.
2. Wujudkan semula lembaga disiplin
3. Tubuhkan Polis Bantuan sekolah di bawah skim KP (Pembantu Keselamatan).
4. Yuran selengaraan bulanan juga perlu diwujudkan mengikut taraf. Sumbangan awam dibuka sepanjang masa. Menaik taraf perlu diaudit dan dipantau agar tiada penyelewangan dana.
Sama ada kita suka atau tidak, reformasi menyeluruh, sama ada dari segi penstrukturan semula sumbangan yuran bersasar mahupun pengwujudan Polis Bantuan Sekolah, perlu disegerakan. Jangan sampai satu hari nanti, kita kehilangan lebih ramai guru berbakat yang tawar hati dengan profesion perguruan, semata-mata kerana sistem gagal melindungi mereka daripada toksiknya mentaliti sebilangan masyarakat dan pelajar hari ini.

0 Ulasan