Setel kena saman Bank Negara! Kecohhh

Awas Screening Mana? Setel Dikenakan Denda RM637,500 oleh Bank Negara!

​Kalau anda pengguna setia aplikasi Setel untuk isi minyak di PETRONAS, ada berita panas yang baru sahaja diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)!

​Syarikat pengendali aplikasi e-dompet popular ini, Setel Ventures Sdn. Bhd., telah dikenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM637,500 oleh pihak BNM pada 15 April 2026. Agak lumayan jumlahnya, kan? Tapi apa sebenarnya yang berlaku?



​Ceritanya begini, sebagai sebuah institusi pelapor (Reporting Institution), Setel tertakluk kepada undang-undang dan peraturan ketat berkaitan Sekatan Kewangan Bersasar (TFS). Peraturan ini mewajibkan mana-mana penyedia perkhidmatan kewangan untuk menyemak dan mengemas kini pangkalan data pelanggan mereka berdasarkan Senarai Domestik (senarai individu/entiti yang ditentukan oleh Kementerian Dalam Negeri) bagi membanteras aktiviti pembiayaan keganasan.

​Namun, hasil siasatan BNM mendapati Setel telah terlepas pandang dalam beberapa perkara kritikal:

  1. Lewat Kemas Kini: Gagal mengemas kini pangkalan data sekatan mereka dengan serta-merta sebaik sahaja Senarai Domestik dikeluarkan.
  2. Gagal Membuat Saringan: Tidak melaksanakan saringan sekatan terhadap keseluruhan pangkalan data pelanggan berdasarkan senarai baharu tersebut.
  3. Tiada Pengesahan Padanan: Gagal menentukan sama ada carian pelanggan yang berpotensi itu merupakan padanan tepat (true match) ataupun tidak.

​Menurut BNM, isu ini berpunca daripada kelemahan pada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sistem saringan dalaman yang digunakan oleh Setel.

​Walau bagaimanapun, kredit perlu diberikan kepada Setel kerana mereka tidak berdiam diri. Selepas isu ini dikesan menerusi laporan mereka sendiri, Setel terus mengambil langkah cepat dengan memperbaiki SOP dan menaik naik taraf sistem keselamatan dalaman bagi memastikan isu sama tidak berulang. Setel juga telah pun menjelaskan bayaran penalti penuh RM637,500 tersebut pada 6 Mei 2026.

​Kesimpulannya, hal berkaitan pencegahan pembiayaan haram dan keselamatan kewangan negara memang bukan perkara main-main. Untuk kita para pengguna, sekurang-kurangnya kita tahu bahawa dengan tindakan susulan ini, sistem keselamatan Setel kini menjadi jauh lebih kukuh dan selamat untuk digunakan!

https://x.com/BNM_official/status/2092537538921558346

Mudahnya macam ni:

​Bila kerajaan keluarkan senarai baharu individu atau entiti "berbahaya" (terlibat pembiayaan keganasan), mana-mana syarikat kewangan wajib terus semak sama ada orang dalam senarai itu ada akaun dengan mereka atau tidak.

​Setel pulak tersilap bab ni:

  • Lambat update senarai: Bila senarai baharu keluar, sistem Setel lambat masukkan nama-nama tu.

  • Tak semak akaun pengguna: Mereka tak buat screening ke atas semua akaun pengguna sedia ada untuk tengok ada tak nama yang tersangkut.

  • Tak sahkan maklumat: Bila ada nama yang seakan-akan sama, Setel tak double-check betul-betul sama ada itu orang yang betul (true match) atau cuma kebetulan nama sama.

​Puncanya sebab sistem automatik dan prosedur (SOP) dalaman Setel masa tu ada 'lubang'. Oleh sebab ini isu keselamatan kewangan negara, BNM ambil tindakan tegas. 


Catat Ulasan

0 Ulasan